Sunday, December 19, 2010

Kajian Kementerian untuk Daging Kambing

Kementerian Mahu Kajian Buktikan Kambing Penyebab Darah Tinggi

Kementerian Pertanian dan Indutsri Asas Tani akan meminta Jabatan Veterinar berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan melakukan kajian saintifik bagi membuktikan kebenaran tanggapan ramai bahawa daging kambing menyebabkan penyakit darah tinggi.

Menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar berkata persepsi itu menyebabkan orang ramai keberatan untuk menjamah daging haiwan ternakan tersebut.

“Ramai masih bimbang makan daging kambing kerana tanggapan itu. Tapi kajian (awal) yangn dibuat Jabatan Veterinar mendapati kandungan kolestrol daging kambing adalah rendah berbanding daging-daging lain,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Pesta Durian dan Promosi Daging Kambing anjuran kementeriannya menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Dewan Serbaguna Parlimen, di sini pada Rabu.

Noh berkata selagi persepsi negatif tersebut tidak disingkirkan, adalah sukar bagi pihaknya untuk membuat promosi dan memasarkan daging kambing di pasaran tempatan.

Mengulas isu berlainan, Noh berkata FAMA telah mengenal pasti tapak di Johor Baharu, Johor untuk didirikan bangunan yang akan diguna khas untuk jamuan buah-buahan.

“Ia macam restoran tetapi sajikan buah-buahan sahaja. Dalam masa sama FAMA juga akan perbanyakkan pusat-pusat pengumpulan untuk buah-buahan tempatan dan juga kilang memproses buah sekiranya berlaku lambakan,” katanya.

FAMA juga katanya, akan mengadakan Pesta Durian Malaysia pada 15 hingga 20 Julai ini di Singapura sebagai salah satu langkah mempromosikan raja buah itu yang semakin mendapat sambutan di republik tersebut.

Selain durian sebagai hidangan utama, Anggota Dewan Rakyat, Dewan Negara dan petugas Parlimen yang menghadiri majlis pada Rabu turut dijamu dengan buahan tempatan lain serta pelbagai menu daging kambing.

– BERNAMA

0 comments:

Post a Comment